Thursday, 8 December 2022

30,000 orang asli Gua Musang nikmati kemudahan jalur lebar

  • Published in Semasa

KELANTAN, 28 September- Kira-kira 30,000 masyarakat orang asli pedalaman di Gua Musang, Kelantan akan menerima manfaat kemudahan komunikasi bagi perkhidmatan jalur lebar
menggunakan teknologi satelit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff berkata, kemudahan yang disediakan itu merupakan inisiatif pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) khusus untuk Kelantan.

 
(Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff)

Menurut Ab. Aziz, ketika ini sebanyak 21 menara komunikasi baharu dan pemasangan gentian optik berkelajuan tinggi di beberapa premis termasuklah sekolah sedang dibina bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G untuk masyarakat orang asli.

Di samping menara kita juga akan dapat kemudahan fiber optic untuk sekolah-sekolah di mana ianya sedang berjalan dan sekolah akan dapat kemudahan internet yang canggih di mana fiber optic ini telah dan sedang dipasang di sekolah-sekolah.

Di samping itu untuk masyarakat orang asli di kawasan pedalaman saya difahamkan kerajaan akan menggunakan satelite untuk kemudahan masyarakat orang asli untuk berhubung antara satu sama lain, dan juga kemudahan internet bagi kawasan mereka," katanya ketika Program ‘Bergagoh Ma Senoi Bek’ bersama masyarakat orang asli di Pos Pulat.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju meningkatkan jumlah pelaburan bagi menambah baik infrastruktur telekomunikasi di Kelantan daripada RM700 juta kepada lebih RM1 bilion.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, pelbagai inisiatif baharu telah ditambah menerusi Jendela di negeri berkenaan.

Katanya, Jendela di Kelantan telah ditambah dengan inisiatif baharu melalui pembinaan menara-menara baharu, perkhidmatan jalur lebar secara percuma kepada masyarakat orang asli menggunakan teknologi satelit dan juga pemasangan gentian optik berkelajuan tinggi di beberapa premis.