Thursday, 8 December 2022

Saifuddin ke Jerman sempena program promosi diplomasi bahasa dan kebudayaan

  • Published in Semasa

(Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah/BERNAMA)

PUTRAJAYA, 28 September- Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengadakan lawatan ke Jerman sempena Program Khas Mempromosikan Diplomasi Bahasa dan Budaya mulai 27 September hingga 2 Oktober.

Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra), program itu akan memberi peluang kepada menteri untuk bertemu rakan sejawatnya, menyertai rundingan Meja Bulat bertajuk “Peaceful Coexistence in the Post-Pandemic Era” serta siri syarahan bertajuk “Social Cohesion: Moving Beyond the Frame of Conflict and Consensus” di Berlin dan Frankfurt.

Dua ahli akademik terkemuka dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharudin dan Profesor Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, akan terlibat dalam rundingan meja bulat dan siri syarahan di kedua-dua bandar itu.

“Program ini juga dijangka menyediakan ruang bagi mempromosikan bidang keutamaan dasar luar Malaysia iaitu Diplomasi Budaya dan Falsafah Hidup Bersama Dalam Budaya Damai (Peaceful Coexistence),” menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa bahagian pertama lawatan beliau, Saifuddin akan berada di Berlin dari 28 hingga 29 Sept, di mana beliau akan bertemu Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock bagi meneliti perkembangan kemajuan pelbagai kerjasama yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Pertemuan itu juga akan memberi ruang kepada kedua-dua menteri untuk berbincang serta bertukar-tukar pandangan termasuk kerjasama dalam bidang kebudayaan, kerjasama ASEAN serta isu-isu antara rantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, menurut kenyataan itu.

Seterusnya, Saifuddin akan mengambil bahagian dalam rundingan meja bulat di Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik Eropah (IISS).

(Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengadakan lawatan ke Jerman sempena
Program Khas Mempromosikan Diplomasi Bahasa dan Budaya mulai 27 September hingga
2 Oktober/FOTO HIASAN AFP)


Beliau turut dijadual menyampaikan ucaptama pada siri syarahan di Institut Diplomasi Kebudayaan (ICD), Berlin.

Dalam bahagian kedua lawatannya, menteri itu akan berada di Frankfurt dari 30 September hingga 1 Oktober di mana beliau akan mengambil bahagian dalam rundingan meja bulat di Institut Penyelidikan Keamanan Frankfurt (PRIF).

Beliau juga dijadual berucap pada siri syarahan di Romanfabrik, sebuah pusat kebudayaan terkemuka yang sering menjadi tuan rumah kepada ramai personaliti, menurut kenyataan itu.

Wisma Putra memaklumkan, dalam sesi berasingan, Saifuddin akan menyertai Majlis Makan Malam Gala anjuran Kerajaan Negeri Sarawak dan Malaysian Club Deutschland (MCD) sempena Ulang Tahun Ke-65 Hubungan Dua Hala Malaysia-Jerman.

Jerman merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia di kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah sejak 2005.

Pada 2021, jumlah dagangan Malaysia dengan Jerman berjumlah RM53.95 bilion (US$13.02 bilion) berbanding RM47.92 bilion (US$11.42 bilion) pada 2020. 

Imbangan dagangan terus memihak kepada Malaysia, menurut Wisma Putra. -BERNAMA