Friday, 9 December 2022

Bajet 2023: CUEPACS cadang kerajaan beri bonus sebulan gaji kepada penjawat awam

  • Published in Semasa

SEREMBAN, 27 September- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan mempertimbang pemberian bonus sekurang-kurangnya sebulan gaji kepada penjawat awam dalam Belanjawan 2023 yang akan diumumkan nanti.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata pemberian bonus tersebut dilihat wajar kerana lebih 11 tahun penjawat awam hanya menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) yang dibentangkan setiap kali belanjawan.

"Bagi kami kerajaan majikan kami ini walaupun tidak pernah memperkenalkan bonus walaupun telah pun mengumumkan dalam bantuan khas kewangan yang lalu tetapi sebenarnya kami merayu pada kerajaan untuk tahun ini perkenalkanlah bonus untuk kami setelah 11 tahun tiada bonus, hanya bantuan khas kewangan," kata Adnan kepada RTM pada Majlis Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan CUEPACS Negeri Sembilan Sesi 2022-2025, di Seremban.

Ujarnya, bonus tersebut adalah sebagai penghargaan kepada penjawat awam yang telah melaksanakan tugas mereka dengan baik serta bertungkus lumus menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara.


(Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat ditemui RTM pada Majlis Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan
CUEPACS Negeri Sembilan Sesi 2022-2025, hari ini)

Sementara itu, beliau turut menyeru agar Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menyediakan moratorium selama dua tahun atau dalam tempoh yang sesuai kepada penjawat awam yang berhadapan dengan isu rumah terbengkalai dan tidak boleh diduduki.

Jelasnya, terdapat banyak aduan berkaitan pinjaman yang telah diluluskan dan dibayar sepenuhnya oleh LPPSA kepada pemaju, namun rumah tersebut tidak siap rumah dan tidak boleh diduduki serta lebih malang lagi gaji penjawat awam telah dipotong setiap bulan.

"Justeru itu kami menyeru supaya LPPSA menyediakan moratorium selama dua tahun atau satu tempoh yang sesuai atau paling hampir satu tempoh yang rumah kami siap, barulah potongan gaji patut dimulakan.

Sekarang rumah tidak siap, ada yang lebih teruk lagi hanya tiga bulan sahaja dinaikkan tetapi bayaran rumah tersebut telah diluluskan LPPSA kepada pemaju," tambahnya.

Usul rumah terbengkalai dalam tempoh yang lama khususnya di Kelantan dan Sarawak menyebabkan penjawat awam terpaksa mengeluarkan perbelanjaan bulanan bagi membiayai pinjaman perumahan serta sewa rumah.