Thursday, 8 December 2022

Polis Perak tumpas kes curi elektrik, kerugian RM1.3 juta

  • Published in Semasa

IPOH, 27 September - Polis Perak menumpaskan kes kecurian elektrik terbesar tahun ini melibatkan kerugian RM1.3 juta dalam satu operasi di Hutan Melintang, semalam.

Operasi sekitar pukul 12.30 tengah hari itu dilakukan ke atas sebuah kilang makanan sejuk beku yang dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak 2016.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata siasatan mendapati kilang berkenaan telah menggunakan elektrik secara haram melalui penyambungan dan pengubahsuaian wayar di bilik pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

(Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri)

"Semasa serbuan didapati terdapat pintasan pada litar arus pendua S1 dan S2 bagi ketiga-tiga fasa pada terminal alat ubah dengan menggunakan wayar asing.

"Kalau ikutkan dia akan bayar dalam RM90,000 sebulan bil elektrik, tapi apabila telah buat ubah suai menggunakan pendawaian dan sebagainya dia hanya membayar RM15,000 sahaja," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini.

Operasi telah disertai Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama TNB.

Beliau berkata, dalam operasi itu polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai penyelia kilang terbabit serta 57 pekerja asing masing-masing warga Myanmar, Indonesia, Vietnam dan Bangladesh atas kesalahan tiada dokumen perjalanan diri yang sah.

Katanya, penyelia berusia 31 tahun itu telah direman selama empat hari manakala pekerja asing ditahan reman selama 14 hari masing-masing bermula Selasa.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63," katanya.