Thursday, 8 December 2022

Isu ketidakpadanan pekerjaan graduan perlu diberi perhatian umum - Onn Hafiz

  • Published in Semasa

JOHOR BAHRU, 27 September- Kerajaan Johor memerlukan komitmen agensi-agensi terlibat dan para akademia daripada universiti awam dan swasta bagi mencari penyelesaian berhubung isu ketidakpadanan peluang pekerjaan dihadapi graduan dalam negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata isu melibatkan ketidaksepadanan tawaran disediakan pemain industri dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Menurutnya, satu perbincangan turut akan diadakan bersama pemain industri serta exco kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu terbabit.

"Kita juga perlukan bantuan daripada pemain industri. Oleh itu, dipenghujungnya nanti akan ada sesi bersama pemain-pemain industri. Insya-Allah, dalam masa terdekat dan kita akan cuba buat perbincangan tersebut sekurang-kurangnya empat kali setahun," kata Onn Hafiz ketika berucap semasa Majlis Penyerahan Resolusi Bengkel Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor.


(Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ditemui media pada Majlis Penyerahan Resolusi
Bengkel Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor, hari ini)

Antara dapatan daripada bengkel tersebut, ialah cadangan meningkatkan kerjasama industri dalam pemadanan pekerjaan serta pengukuhan kerjasama agensi dan jabatan bagi menyelesaikan isu penempatan pekerjaan.

Selain, mewujudkan dasar kerajaan negeri untuk menarik minat pekerja kekal bekerja di Johor dan cadangan mengenai kajian tangga gaji negeri.