Tuesday, 29 November 2022

Bajet 2023, Johor sasar lebarkan lebuh raya PLUS Yong Peng ke Johor Bahru

  • Published in Semasa

JOHOR BAHRU, 27 September- Kerajaan Johor sedang berusaha mencari inisiatif bagi melebarkan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari Yong Peng ke Johor Bahru menerusi Bajet 2023.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata usaha tersebut adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri, meningkatkan mutu pembangunan infrastruktur dan memastikan pembangunan terus diperhebat dalam negeri.

Menurutnya, kejayaan inisiatif tersebut, memerlukan kestabilan politik di peringkat negeri dan nasional.

"Negeri Johor dalam keadaan baik. Kita mempunyai kestabilan yang kami perlukan pada peringkat negeri tetapi suka tak suka, kita juga perlukan kestabilan di peringkat nasional.

Pada tahun 2018, banyak perkara telah dijanjikan seperti Kereta api Berkelajuan Tinggi (HSR) tetapi apabila berlaku perubahan kerajaan, semua inisiatif yang sepatutnya telah berjalan, diberhentikan," kata Onn Hafiz kepada RTM ketika berucap Majlis Penyerahan Resolusi Bengkel Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor.


(Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi)

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Johor Corporation (JCORP) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat perdagangan terkemuka dari Jepun, Sojitz bagi menjalankan kajian nyahkarbon menerusi penggunaan hidrogen.