Sunday, 2 October 2022

Program Putrajaya berselawat, tarik kehadiran lebih 1,000 pengunjung

  • Published in Semasa

PUTRAJAYA, 24 September - Perbadanan Putrajaya (PPj) julung kalinya menganjurkan program Putrajaya Berselawat di Dataran Putrajaya malam tadi.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata lebih 1,000 pengunjung menyertai program tersebut yang diadakan sempena Karnival Putrajaya 2022 bermula semalam hingga 25 September ini.

Program dimulakan dengan solat Isyak Berjemaah disusuli bacaan ayat suci al-Quran dan berselawat.

(Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud)

"Banyak pengisian yang kita akan sediakan terutamanya untuk komuniti Putrajaya setelah dua tahun mereka duduk dalam era pandemik. Jadi kita buka seluas-luasnya Putrajaya ini untuk mereka nikmati.

"Kita juga melibatkan beberapa agensi kerajaan untuk bersama-sama seperti Kementerian Pendidikan dan juga beberapa Kementerian lain yang ada di Putrajaya ini," katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Karnival Putrajaya 2022 merupakan acara tahunan anjuran PPj yang bertujuan bagi mengukuhkan lagi hubungan antara komuniti dan juga pemegang taruh di Putrajaya.