Sunday, 2 October 2022

KPT sasar lebih ramai mahasiswa sertai briged sukarelawan - Noraini

  • Published in Semasa

AYER KEROH, 24 September - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan lebih ramai mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menyertai Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin bagi menghadapi sebarang bentuk bencana alam termasuk banjir.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata sasaran tersebut dijangka mencapai matlamat selepas para pelajar kembali ke kampus untuk membantu kesiapsiagaan menghadapi fasa peralihan Monsun Timur Laut, November ini.

(Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad)

"Jika tahun lalu adalah seramai 20,000 orang dan tahun ini saya jangkakan lebih daripada itu, kerana pelajar sudah kembali ke kampus.

“Penyertaan mereka amat penting untuk memberi bantuan sewaktu bencana, selain itu juga, ia dapat mendidik pelajar agar prihatin kepada masyarakat dan menghulur bakti kepada mereka yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas Program KPT Prihatin-Tuah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Sejahtera yang dilancarkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, di sini.

Tambah Noraini, Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin yang dilancarkan itu akan diselaraskan dengan program sukarelawan dikendalikan Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia agar lebih teratur.