Sunday, 2 October 2022

Jenazah Allahyarham Bob Lokman selamat dikebumikan

  • Published in Semasa

KOTA BHARU, 24 September - Jenazah pelakon dan penulis lirik terkenal, Allahyarham Bob Lokman, 58 tahun selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Bunut, Kubang Kerian, di sini, pukul 9.30 malam tadi.

Terdahulu, jenazah arwah Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman dimandi dan dikafankan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian serta disolatkan di Masjid Kampung Pulau Hilir.

(Jenazah arwah Bob Lokman disolatkan di Masjid Kampung Pulau Hilir)

Lebih 100 ahli keluarga, rakan artis dan kenalan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.

Antara artis hadir termasuklah Datuk M Nasir dan Datin Marlia Musa.

M Nasir ketika ditemui melahirkan rasa kehilangan dan sempat menziarahi arwah ketika tidak sihat, beberapa bulan lalu.

(Datuk M Nasir)

"Satu kehilangan besar...kita tahu macamana arwah bekerja...tidak jumpa lagilah orang macam arwah. Arwah mempunyai pendirian dan setiap lirik ditulis mempunyai keunikan. Ini kerana arwah berfikiran tersendiri dan kebanyakan lagu ciptaannya menjadi siulan ramai," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Pulau Bunut, Kubang Kerian, di sini, malam tadi.

Media semalam melaporkan, arwah Bob Lokman meninggal dunia di kediamannya di Kubang Kerian akibat komplikasi jantung, pukul 3 petang semalam.

Sebelum ini, arwah pernah menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pada awal Disember 2020.

Pada 21 April lalu, arwah berpindah ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut, namun akibat kekangan kewangan dialami, arwah Bob hanya mendapatkan rawatan selama tiga hari di IJN dan keluar dari hospital serta balik ke Kelantan pada 24 April lalu.

Arwah yang juga penulis lirik lagu Isabella dan Taman Rashidah Utama meninggalkan seorang balu, Relawati Daud, 42, dan tujuh cahaya mata.

Beliau juga adalah cicit kepada ulama terkenal di Kelantan, Allahyarham Tok Kenali.