Sunday, 2 October 2022

Hospital Rembau dinaik taraf kepada Hospital Pakar Minor

  • Published in Semasa

(Khairy Jamaluddin)

REMBAU, 23 September- Hospital Rembau dinaik taraf daripada Hospital Tanpa Pakar kepada Hospital Pakar Minor.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata sejajar penaiktarafan hospital itu, sebuah lagi dewan bedah akan dibuka beserta peralatan baharu dengan peruntukan kira-kira RM9 juta

"Memang ada keperluan Hospital Rembau ini dinaik taraf kepada Hospital Pakar Minor disebabkan kesesakan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban.

"Siapa yang pernah mendapatkan perkhidmatan di HTJ tahu bahawa kadang kala berlaku kesesakan dan kita, oleh kerana Hospital Rembau ini tidak berapa juah dari Hospital Seremban maka banyak kes sama ada boleh rujuk ke sini atau tidak perlu dirujuk ke HTJ," katanya.

(Hospital Rembau mula dibina pada 9 September 2013 dan siap sepenuhnya pada 10 Oktober 2019)

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hospital Rembau, di sini hari ini.

Naik taraf hospital turut melibatkan penyediaan kemudahan CT Scan dan bakal menempatkan pakar perubatan daripada pelbagai disiplin utama.

Hospital Rembau mula dibina pada 9 September 2013 dan siap sepenuhnya pada 10 Oktober 2019.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan bersetuju untuk menyediakan perkhidmatan wifi percuma di semua hospital kerajaan dan akan dilaksana secara berfasa.

Hospital Rembau antara hospital yang terawal menerima kemudahan tersebut.