Sunday, 2 October 2022

Malaysia paling konsisten dan tegas, pendirian mengenai konflik Myanmar

  • Published in Semasa

NEW YORK, 23 September - Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar menyifatkan Malaysia sebagai rakan Asean yang paling konsisten dan tegas dengan pendirian mengenai konflik negara itu.

Jurucakap NUG, U Htin Linn Aung berkata kenyataan negara oleh Malaysia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) amat dinantikan.

Beliau berharap pemimpin dunia lain turut mengambil tindakan drastik dalam mencari penyelesaian kepada krisis negaranya.

Perubahan kepimpinan Malaysia tidak mengubah pendirian negara terhadap konflik politik berterusan di Myanmar.


(Jurucakap NUG, U Htin Linn Aung ketika ditemui pemberita RTM)

"Pendirian Malaysia sekarang, hari ini, sangat kuat dan sangat menonjol. Negara lain harus (menjadikan Malaysia) sebagai model dan berurusan secara langsung dengan NUG, kerajaan yang mewakili rakyat.

"Berurusan secara langsung dengan kami akan menyokong rakyat Myanmar. Mereka (pemimpin lain) tidak sepatutnya terlibat dengan tentera Myanmar dan harus memutuskan hubungan dengan tidak mengktiraf junta dalam apa jua mesyuarat. Itu akan mengiktiraf peranan NUG dan menyokong rakyat Myanmar," kata U Htin Linn Aung di sini.

Pada Disember 2021, Jawatankuasa Tauliah PBB mengumumkan bahawa ia akan menangguhkan keputusan mengenai siapa yang akan mewakili Myanmar pada badan dunia itu.

Langkah tersebut membenarkan Wakil Tetap Myanmar ke PBB yang mewakili NUG, Kyaw Moe Tun, mengekalkan kedudukannya sebagai wakil negara.

Tindakan itu dilihat sebagai tamparan serius kepada junta Myanmar, apatah lagi sebingga kini tiada kemajuan dalam pelaksanaan ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN oleh pihak tentera.

Awal minggu ini, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan, Asean perlu memutuskan sama ada konsensus mengenai Myanmar itu masih relevan atau harus dibatalkan segera.

Keputusan harus dicapai sebelum sidang kemuncak Asean pada November.

Setakat ini, lebih 2,300 orang terbunuh sejak tentera merampas kuasa dengan menggulingkan kerajaan yang dipilih pada 1 Februari 2021.

Perpecahan semakin mendalam; ketidaksamaan semakin meluas;

Majlis Keselamatan PBB sedang mempertimbangkan resolusi British yang akan menuntut penamatan semua keganasan di Myanmar, menggesa penamatan segera pemindahan senjata ke Myanmar dan mengancam sekatan PBB.

Ia juga akan menggesa junta Myanmar membebaskan semua tahanan politik, termasuk Aung Suu Kyi, melaksanakan pelan damai ASEAN dan membenarkan peralihan demokrasi.

Bagaimanapun, Majlis Keselamatan telah lama berpecah mengenai Myanmar dengan diplomat berkata China dan Rusia berkemungkinan akan melindungi negara itu daripada sebarang tindakan tegas dan rundingan mengenai draf resolusi British mungkin mengambil sedikit masa.

Untuk diterima pakai, resolusi Majlis Keselamatan memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan tiada veto oleh Rusia, China, Amerika Syarikat, Perancis atau Britain.

Pada ucapannya di pentas PBB yang dijadual pada pukul 3.40 pagi Sabtu waktu Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri bakal menyentuh perkembangan krisis negara itu, seiring konflik serta cabaran global lain.

Laporan Hanim Muhili