Sunday, 2 October 2022

JMKM catat nilai jualan lebih RM25.8 juta

  • Published in Semasa

KUALA TERENGGANU, 23 September- Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) yang bermula pertengahan Ogos lepas di seluruh negara, berjaya mencatatkan hasil jualan lebih RM25.8 juta setakat ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata program sehingga kini juga telah memanfaatkan 1.04 juta pengunjung.

JMKM yang menawarkan harga keperluan asas lebih rendah hingga 30 peratus adalah salah satu usaha kerajaan membantu golongan memerlukan.

Agensi pelaksana JMKM seperti KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) serta Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bekerjasama sebaik mungkin memastikan matlamat membantu kumpulan sasar tercapai.

"Dan kita di kementerian, KPDNHEP hampir 100 peratus telah laksanakan program ini jadi seterusnya program ini memberi ruang, peluang dan kesempatan kepada rakyat terutamanya B40 untuk mendapat barang bekalan pada harga yang murah.

"Contohnya macam pada program hari ini ayam dijual dengan harga RM5 sekilogram, tetapi ayam kita tahu harganya lebih kurang RM8 sekilogram," katanya.

(Datuk Rosol Wahid)

Beliau menyatakan demikian ketika meninjau program JMKM, di sini hari ini.