Sunday, 2 October 2022

Pound cecah paras terendah dalam 37 tahun

  • Published in Semasa

(Kwasi Kwarteng memegang fail bertulis 'The Growth Plan 2022' ketika beliau
keluar untuk memperkenalkan pelan belanjawan anti-inflasi di London/AFP)

HONG KONG, 23 September - Pound jatuh ke paras terendah baharu dalam 37 tahun berbanding dolar apabila peniaga semakin bimbang tentang prospek ekonomi, dengan bank pusat meningkatkan kadar faedah untuk mengawal inflasi yang berterusan.

Sterling jatuh serendah AS$1.1151 paling lemah sejak awal 1985 selepas Bank of England pada Khamis menaikkan kos pinjaman sebanyak 50 mata asas, susulan kenaikan tiga suku mata oleh Rizab Persekutuan pada hari Rabu.

Dolar juga melonjak berbanding euro, dengan kadar belian matawang tunggal itu AS$0.9753, paras terendah baharu dalam tempoh 20 tahun.

Peniaga kini tertumpu ke London, dengan menteri kewangan baharu Kwasi Kwarteng dijangka mengumumkan bajet mini untuk menyokong isi rumah dan perniagaan.

Semalam, Kwarteng berkata beliau akan membatalkan cukai gaji yang baru dilaksanakan oleh menteri kewangan terdahulu Rishi Sunak -- dan mendedahkan kos rancangan kerajaan baharu untuk mengehadkan bil tenaga bagi isi rumah dan perniagaan.

Baru-baru ini Bank of England memberi amaran bahawa Britain sedang tergelincir ke dalam kemelesetan, kesan lonjakan harga bahan bakar dan makanan. -AFP

(Sterling jatuh serendah AS$1.1151 paling lemah sejak awal 1985 selepas Bank
of England pada Khamis menaikkan kos pinjaman sebanyak 50 mata asas)