Sunday, 2 October 2022

560 petani di Perlis terjejas akibat tanah jerlus

  • Published in Semasa

ARAU, 23 September - Sekurang-kurangnya 560 petani sekitar Parlimen Arau mengalami kerugian apabila sebahagian besar tanah sawah mereka tidak dapat dituai akibat daripada tanah jerlus pada musim menuai tahun ini.

Satu cadangan iaitu merehatkan tanah yang terlibat dibuat kepada pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika meninjau kawasan terjejas berkata, kebanyakan sawah di kawasan itu perlu direhatkan selepas
sekian lama melalui proses penanaman padi.

Bagi membolehkan petani terlibat tidak mengalami kerugian, bantuan perlu diberikan kepada mereka sebagai ganti rugi pendapatan jika tanah mereka direhatkan.

(Shahidan bercakap kepada pemberita ketika melawat beberapa sawah padi
yang terjejas tanah jerlus di sekitar Arau Perlis)

"Ini tanpa melibatkan kewangan baru, ia melibatkan kewangan sedia ada cuma ditukarkan kepada kewangan bagi tanah yang terlibat.

"Beri kepada yang terjejas ini dahulu, saya bersetuju cuma ketika ini perlu minta persetujuan daripada tuan tanah sendiri, kerana jika berterusan, pasti musim berikutnya tidak boleh ambil juga bendang dan akan kerugianlah," kata Shahidan di sini.

Sementara itu, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Nurulhisyam Yakoob berkata, cadangan merehatkan tanah selama setahun merupakan langkah terbaik.

Manakala peruntukan subsidi input pertanian sedia ada boleh ditukarkan kepada bentuk wang sebagai ganti rugi sepanjang tanah mereka direhatkan.

"Sekiranya petani setuju, jika tidak pihak kami perlu terimalah, tetapi jika semua ikuy syarat, program seperti ini pernah dibuat di negeri Kedah dan ia berjaya," kata Nurulhisyam di sini.

Hampir 600 Hektar sawah padi di kawasan MADA di sekitar Perlis terjejas akibat tanah jerlus dan dijangka akan bertambah buruk menjelang pada musim akan datang sekiranya tiada jalan penyelesaian.