Sunday, 2 October 2022

COMBI terus perkasa peranan banteras denggi

  • Published in Semasa

SELANGOR, 23 September- Negara mencatatkan peningkatan kes demam denggi sehingga lebih 37,000 kes dengan 22 kematian setakat September tahun ini.

Daripada jumlah itu, Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi, dengan 62 peratus, diikuti Kuala Lumpur dan Johor.

Susulan peningkatan kes yang membimbangkan itu, Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) terus memperkasa perananya membanteras denggi di kawasan berisiko.

Menurut Presiden COMBI Kebangsaan, Mohd Noor Ahmad pihaknya tidak pernah duduk diam bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan awam bebas daripada wabak maut itu.

Lebih 51,000 sukarelawan MyChampion COMBI seluruh negara digerakkan bagi mendidik masyarakat akan peri penting penjagaan persekitaran, ke arah komuniti yang lebih sihat.

"Kita sukarelawan (MyChampion COMBI) cuma memberi pendidikan dan tunjuk ajar bagaimana menjaga kebersihan persekitaran, kesihatan, kalau semua orang dapat buat, masalah ini akan menurun.

"Kalau kita pergi satu tempat, contoh ada wabak di satu kawasan, kita beri tunjuk ajar bagaimana nak selesaikan masalah, mencari tempat pembiakan nyamuk aedes dan musnahkan," katanya.

Beliau ditemubual RTM di Pusat COMBI Teluk Panglima Garang.

(Mohd Noor Ahmad)

Empat teras menjadi aspirasi penubuhan COMBI, tidak lain bertujuan mengawal dan membanteras penularan wabak penyakit berbahaya yang boleh memudaratkan orang ramai.

Ini merangkumi penjagaan persekitaran, kesihatan kendiri, imunisasi serta kesihatan mental dan fizikal.

"Kita kena sampaikan satu mesej jelas kepada masyarakat, bahawa ini peranan bukan kita saja...peranan kita bersama.

"Kalau komuniti sahut bersama cabaran ini...insya-Allah negara lebih sihat," tambahnya.

Dengan slogan 'Dari Komuniti Kepada Komuniti Untuk Komuniti'; COMBI turut menjalin kerjasama erat dengan agensi daripada pelbagai kementerian.

Pasukan itu juga bertindak sebagai ejen perubahan dan menjadi contoh dalam kalangan komuniti setempat, dengan mengamalkan aktiviti pencegahan denggi setiap minggu.

Malah, pasukan sukarelawan di bawah Kementerian Kesihatan itu turut bekerjasama dengan pihak sekolah bagi melahirkan generasi muda celik kepada penjagaan kebersihan dan kesihatan.