Sunday, 2 October 2022

RISDA Perlis tingkat taraf hidup pekebun menerusi bidang keusahawanan

  • Published in Semasa

KANGAR, 23 September- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) terus komited membantu pekebun kebun kecil getah khususnya di Perlis.

Ini menerusi pelbagai inisiatif bagi membantu golongan berkenaan terutamanya dalam bidang keusahawanan.


(Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyantuni usahawan bimbingan
RISDA, disaksikan Pengarah RISDA Negeri, Nor Afzami Isa)

Menurut Pengarah RISDA Negeri, Nor Afzami Isa, kini seramai 435 orang Usahawan Bimbingan RISDA Negeri Perlis aktif dalam menjalankan aktiviti perniagaan dalam bidang masing-masing iaitu makanan, perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.

Usaha ini selari dengan objektif RISDA dalam Model Perancangan Strategik RISDA (MPSR) Tahun 2021-2025 iaitu bagi memastikan pekebun kecil memperoleh purata pendapatan kolektif RM4,500 sebulan sekeluarga menjelang tahun 2025.

Dimana RM1,500 daripada aktiviti kebun getah, RM2,500 daripada aktiviti keusahawanan dan RM500 lagi daripada hasil lain-lain.

Beliau memaklumkannya pada Program Hari Terbuka Keluarga RISDA di perkarangan pejabat RISDA Negeri di Kangar yang dihadiri lebih 300 orang pekebun kecil dan Usahawan Bimbingan RISDA Negeri Perlis.

Program ini dilaksanakan bagi memastikan pekebun kecil menerima maklumat yang cepat dan tepat berkaitan peranan dan fungsi RISDA dan Kumpulan RISDA Holdings (KRH).

Inisiatif ini juga adalah salah satu kaedah sistem penyampaian berkesan kepada masyarakat luar bandar khususnya pekebun kecil getah di negeri Perlis.