Sunday, 2 October 2022

Rasuah VLN: Nasib Ahmad Zahid ditentukan hari ini

  • Published in Semasa

SELANGOR, 23 September- Hari ini merupakan keputusan sama ada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Mohd Yazid dijangka mengumumkan keputusan di akhir kes pendakwaan pada 9 pagi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Shah Alam pada jam 8:45 pagi berhubung keputusan kes 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).


(Bekas Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Shah Alam pada jam 8:45 pagi)

Sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan, yakni mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid maka beliau akan dipanggil untuk membela diri, namun jika keputusan adalah sebaliknya, bekas timbalan perdana menteri itu akan dilepas dan dibebaskan.

Sekiranya Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diperintah membela diri, mahkamah akan mendengar keterangan daripadanya dan saksi pembelaan lain.

Presiden UMNO itu mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau didakwa melakukan kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri, menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.



(Penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkumpul diluar perkarangan mahkamah)