Sunday, 2 October 2022

Operasi kesan 2 pekerja kuari tertimbus dihentikan

  • Published in Semasa

PERAK, 23 September - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan dua pekerja yang tertimbus dalam runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai dekat Ipoh dihentikan pada Khamis selepas penemuan pakaian dan cebisan tulang manusia termasuk jengkaut kedua semalam.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata kesemua objek dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan ujian DNA bagi pengesahan identiti.

“Penemuan dua jentera, pakaian dan cebisan tulang manusia yang dipercayai milik kedua-dua mangsa yang dilaporkan hilang pada 8 Mac lepas maka operasi SAR di tempat kejadian telahpun ditamatkan.

“Jengkaut kedua telah berjaya dikeluarkan dari lokasi kejadian pada 5.20 petang dan operasi tamat pada 6 petang tadi,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Operasi itu, yang diketuai Ketua Polis Daerah Ipoh Yahaya Hassan, disertai 14 pegawai dan anggota Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri serta Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dengan kerjasama polis serta Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Perak.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak Azmi Osman dilapor berkata cebisan tulang dan baju serta bangkai jengkaut ditemukan pasukan SAR pada 11.45 pagi Selasa.

Dalam kejadian pada 8 Mac lepas, dua pekerja kuari yang dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49, dipercayai tertimbus dalam runtuhan batu. –BERNAMA