Wednesday, 28 September 2022

Program IBBC dan CIP catat peningkatan hasil jualan hampir RM1 juta

  • Published in Semasa

SHAH ALAM, 20 Ogos- Program bimbingan Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) berjaya mencatatkan peningkatan hasil jualan berjumlah RM907,000 dan mencipta 30 peluang pekerjaan, hasil program yang diadakan secara komprehensif selama empat bulan.

Peningkatan hasil jualan tersebut dicatatkan oleh 107 peserta Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Consumer Intelligence Programme (CIP).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, kejayaan Insken membuktikan program bimbingan dijalankan ternyata berkesan dalam membantu usahawan meneruskan kelangsungan perniagaan selepas menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

“Peserta telahpun mendapat manfaat bukan sahaja dalam bentuk peningkatan jualan malah bimbingan berbentuk emosi dan sokongan moral yang membantu peserta ketika bertahan ketika menghadapi situasi sukar.

“Keseluruhan para peserta juga telah memberikan komitmen yang tinggi sekali gus dapat menamatkan program dalam masa yang telah ditetapkan,” kata Noh.

Beliau berucap pada Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2022 sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Selangor.

Beliau menggesa lebih ramai usahawan mendapatkan bimbingan daripada INSKEN kerana kemahiran serta pengetahuan yang dimiliki pakar industri juga diperlukan untuk memajukan sesebuah perniagaan.

Tambahnya, usahawan tidak boleh menjadikan pakar industri atau mentor sebagai pesaing mereka malah ia adalah peluang untuk meluaskan jaringan perniagaan.


(Tan Sri Noh berucap pada Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2022)