Sunday, 2 October 2022

Kemasukan pekerja asing perlu dapat kelulusan JTKSM mulai 1 September

  • Published in Semasa

KAJANG, 19 Ogos- Kemasukan pekerja asing perlu mendapat kelulusan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JTKSM) berkuat kuasa 1 September depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, usaha itu bagi mengawal kemasukan pekerja asing terutama dalam kalangan pekerja asing tanpa izin.

"Hari ini kita letak tanda muktamad, dengan perubahan Akta Kerja 1955 tiada mana-mana agensi pekerjaan (dibenarkan) sama ada pekerja profesional atau bukan profesional luar negara masuk ke negara ini tanpa persetujuan Ketua Pengarah JTKSM berkuat kuasa 1 September ini.

Kita boleh membentuk satu jendela tunggal dan akan memperincikan mekanisme terbaharu untuk mengasingkan atau dapat membezakan (pekerja dan sektor)," katanya selepas menjadi panel dalam Program Diskusi Minda Profesor Negara di sini.

(Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia)

Mengenai pelaksanaan waktu kerja 48 jam kepada 45 jam pula, beliau berkata satu pengumuman khas akan dibuat minggu depan.

Jelas beliau, banyak perkara perlu diambil kira meliputi waktu kerja, cuti dan peranan kementerian.