Logo

Agong berkenan solat Jumaat di Masjid Hagia Sophia

ISTANBUL, 19 Ogos- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Hagia Sophia sempena Lawatan Negara Baginda ke Turkiye.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada pukul 12.15 tengah hari diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan disambut Ketua Agama Turkiye, Prof Dr. Ali Erbas.

Turut mengiringi Baginda, Naib Presiden Turkiye, Fuat Oktay.

Al-Sultan Abdullah kemudian berangkat ke ruang solat utama untuk menunaikan solat sunat dua rakaat.

Imam Masjid Hagia Sophia, Bunyamin Topcuoglu menyampaikan khutbah dan mengimamkan solat Jumaat.

(Al-Sultan Abdullah menunaikan solat Jumaat di Masjid Hagia Sophia)

Masjid yang berusia lebih 1,500 tahun itu merupakan masjid ikonik di Istanbul dan disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1985.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menyifatkan pembukaan Hagia Sophia untuk solat sunat Tarawih bermula 1 April sebagai detik bersejarah kepada rakyat beragama Islam di Turkiye dan seluruh dunia.

Baginda menyatakan perkara tersebut ketika menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Laporan Farhana Azwanee Ismail

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.