Wednesday, 28 September 2022

Pemimpin masyarakat, ketua kampung perlu lebih kreatif dalam menguruskan kampung - Mahdzir

  • Published in Semasa

(Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap pada sidang media selepas 
Majlis Penyerahan Watikah JPKK Negeri Melaka Tahun 2022)

AYER KEROH, 19 Ogos - Pemimpin masyarakat atau ketua kampung yang dilantik perlu lebih kreatif, inovatif, dinamik serta berkarisma dalam menguruskan kampung masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ia sebagai usaha merealisasikan sasaran kementerian untuk mewujudkan lebih banyak kampung yang memenuhi kriteria Kampung Sejahtera.

Pengerusi dan ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga perlu mengambil peluang dengan menyertai kursus yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Menurutnya, JPKK yang menjadi pengantara di peringkat akar umbi yang akan menyalurkan sebarang permasalahan atau aduan masyarakat kepada pihak berkuasa serta agensi yang berkaitan terhadap sesuatu isu yang timbul.


(Datuk Seri Mahdzir Khalid pada majlis penyerahan Watikah JPKK Negeri Melaka Tahun
2022 di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka)

"Yang keduanya elemen yang paling penting adalah kepimpinan yang disediakan atau pun yang dibahagi oleh pemimpin di peringkat kampung, makna kepimpinan yang kita nak itu, yang itu kalau tak boleh kita ada latihan kursus pengurusan, kita ada kursus-kursus pendek yang kita buat di peringkat kementerian, kita ada Infra pusat latihan di Bangi.

"Jadi kita panggil dari semasa ke semasa ketua-ketua kampung ini macam mana nak mengurus,” kata beliau selepas Majlis Penyerahan Watikah JPKK Negeri Melaka Tahun 2022 di Auditorium Seri Negeri, di sini hari ini.

Mahdzir berharap agar program-program yang dirancang untuk pembangunan kampung dapat terus dilaksanakan dan diperkasakan lagi pada masa hadapan sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.