Wednesday, 28 September 2022

KUSKOP galak koperasi ceburi bidang pendidikan, tubuh sekolah

  • Published in Semasa

PUNCAK ALAM, 19 Ogos- Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggalakkan lebih banyak koperasi untuk menceburi bidang pendidikan terutama penubuhan sekolah islam integrasi dan prasekolah di negara ini.

Penubuhan sekolah bertaraf swasta itu selaras dengan hasrat KUSKOP bagi melahirkan generasi yang beriman dan berilmu.

Menurut Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar, ia merupakan lembaran baharu dalam usaha memperkasakan pembangunan perniagaan koperasi untuk menceburi bidang pertumbuhan baharu terutama dalam bidang pendidikan.

"Kita menggalakkan koperasi-koperasi supaya dapat merencana aktiviti pendidikan ini kerana ia dapat melahirkan satu generasi berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat terutamanya yang berbentuk integrasi seperti ini," kata Noh kepada pemberita RTM selepas merasmikan Majlis Perasmian Sekolah Rendah Islam Az-Zahrawi Puncak Alam yang dimiliki Koperasi Felda Bukit Cherakah di Puncak Alam, Selangor.


(Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar)

Tambah beliau, dalam masa yang sama penubuhan tersebut dlihat mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya untuk ahli koperasi sekali gus mampu memberi peluang anak-anak ahli koperasi untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik.

Ia juga bersempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (PJAKM) negeri Selangor 2022.

Setakat ini, sebanyak tiga buah sekolah islam integrasi swasta telah ditubuhkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di seluruh negara.