Sunday, 2 October 2022

Agong terima darjah tertinggi Kerajaan Turkiye

  • Published in Semasa

ANKARA, 17 Ogos 2022- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima darjah tertinggi Kerajaan Turkiye, ‘Turkish Order of the State’ sempena lawatan negara ke Turkiye.

Anugerah tertinggi yang disampaikan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden itu menjadikan baginda ketua negara ASEAN pertama yang menerima anugerah berprestij tersebut.

Seri Paduka Baginda antara lima pemimpin negara yang menerima darjah tersebut di bawah pimpinan Presiden Erdogan selain Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud; Raja Belgium, Raja Philippe; Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahmad Al- Jaber Al- Sabah dan Presiden Tunisia, Beji Caid Essebsi.

(Al-Sultan Abdullah menerima darjah tertinggi Kerajaan Turkiye daripada Presiden Erdogan)

Pada majlis sama, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan anugerah darjah tertinggi negara, Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) kepada Presiden Erdogan.

Darjah kebesaran D.M.N dikurniakan kepada Sultan atau Raja yang memerintah negeri namun darjah kebesaran itu juga boleh dikurniakan secara kehormat kepada warga asing serta orang yang paling dihormati.

Turut mengiringi baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.