Sunday, 2 October 2022

Tunku Azizah berkenan lawat Perpustakaan Rakyat Pejabat Presiden di Turkiye

  • Published in Semasa

ANKARA, 16 Ogos- Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Perpustakaan Rakyat Pejabat Presiden sempena lawatan negara ke Turkiye.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada pukul 3.45 waktu tempatan disambut Isteri Presiden Turkiye, Emine Erdogan.

Turut berangkat, anakanda Baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Semasa lawatan di perpustakaan tersebut, Tunku Azizah dibawa melawat dan diberi penerangan mengenai sejarah permulaan muzik di Turkiye termasuk semasa zaman kerajaan Uthmaniah sehingga kini.

Baginda turut berkenan dibawa melihat koleksi buku-buku dan manuskrip lama kerajaan Turkiye yang ditempatkan di perpustakaan tersebut.

(Tunku Azizah melihat koleksi buku-buku dan manuskrip lama kerajaa Turkiye)

Istimewanya, perpustakaan berkenaan merupakan perpustakaan terbesar di Turkiye yang terletak di dalam kawasan Pejabat Presiden dan dibuka 24 jam kepada rakyatnya.

Usai lawatan di Perpustakaan Rakyat Pejabat Presiden, Tunku Azizah dan Emine Erdogan berangkat ke Istana Presiden bagi menghadiri Majlis Jamuan Negara bersama Yang di-Pertuan Agong dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.