Sunday, 2 October 2022

Peserta Akademi Daie YADIM perlu manfaat media sosial untuk berdakwah

  • Published in Semasa

PUTRAJAYA, 16 Ogos- Peserta program Akademi Daie anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) perlu menjadi ikon kepada masyarakat terutama golongan muda untuk lebih mendekatkan diri dengan ajaran Islam.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, peserta boleh memanfaatkan media sosial dan lebih kreatif ketika berdakwah.

"Peserta Akademi Daie perlu aktif di media sosial untuk menjadi benteng menepis pelbagai serangan pemikiran oleh pihak yang ingin merosakkan anak muda dan menjauhkan mereka daripada ajaran Islam yang sebenar.

Kita tidak lari daripada pendekatan secara konvensional, namun saya menekankan aspek pengisian di media sosial seperti Tiktok, Instagram, Facebook dan sebagainya yang perlu ditingkatkan supaya dakwah sentiasa segar," katanya selepas menyerahkan watikah pelantikan Akademi Daie Muda YADIM 2022 di sini.

(Datuk Idris Ahmad bercakap kepada media selepas menyerahkan 
watikah pelantikan Akademi Daie Muda YADIM 2022)

Program berkenaan dilaksana bagi melahirkan daie yang bukan sahaja kaya dengan ilmu agama, malah mahir berkomunikasi dan berdakwah seiring peredaran zaman.

Seramai 28 daripada 300 orang telah dipilih menjadi pelatih di Akademi Daie Muda YADIM kali ini.