Sunday, 2 October 2022

Dewan Negara lulus lima Rang Undang-Undang

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 16 Ogos- Lima Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan Dewan Negara hari ini.

Ia melibatkan RUU Levi Pelepasan (Pindaan) 2022, RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2022, RUU Levi Kenderaan Barang-barang (Pindaan) 2022, RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2022 dan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2022. 

Pindaan kelima-lima RUU tersebut dibuat bagi memasukkan peruntukan baharu bertujuan menambah baik pentadbiran melalui peruntukan yang membolehkan fasilitasi tertentu diberikan kepada pembayar cukai khususnya semasa berlaku kecemasan awam seperti bencana alam atau krisis kesihatan awam seperti pandemik COVID-19.

(Datuk Mohd Shahar Abdullah/BERNAMA)

Ketika menggulung RUU Levi Pelepasan (Pindaan) 2022, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah menjelaskan Levi Pelepasan dikenakan kepada mereka yang meninggalkan Malaysia untuk keluar negara.

Levi itu bertujuan mempelbagaikan hasil cukai tidak langsung yang dikutip oleh Jabatan Kastam. Menurut beliau, pada masa ini, cukai levi masih dikenakan kepada pelajar yang menuntut di luar negara.

Namun sekiranya perlu, kerajaan bersedia untuk menilai keperluan layanan khas diberi kepada pelajar berkenaan. Tambahnya, layanan khas diberikan kepada mereka yang menunaikan umrah dan haji.

Termasuk bukan Islam yang ingin meninggalkan negara untuk tujuan agama.

"Semasa mereka membayar cukai pendapatan, mereka boleh rebat jumlah tersebut, levi pelepasan dua kali seumur hidup. Maknanya bagi pembayar-pembayar cukai mereka boleh menyatakan butiran resit dan kita akan bagi secara rebat levi pelepasan ini sebanyak dua kali seumur hidup," katanya.