Sunday, 2 October 2022

Cadangan tubuh RCI siasat isu LCS dibawa ke Kabinet esok

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 16 Ogos- Cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dibawa ke Kabinet, esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkannya pada Sidang Dewan Negara, petang tadi.

Beliau memberi jaminan akan membawa sendiri perkara itu untuk mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

"Ini tanggungjawab saya untuk bawak ke Kabinet hari Rabu ini. Saya akan lakukan. Kabinet juga perlu persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai penubuhan sesuatu RCI,” katanya.

"Kita tidak perlu takut atau bimbang. Kita mahukan ketelusan, keadilan. Itu juga kehendak saya, bahawa mereka sekiranya ada melakukan salah guna kuasa, rasuah, semuanya terpaksa berhadapan dengan muka pengadilan.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul berkaitan projek LCS.

Usul tersebut dikemukakan Senator Lim Hui Ying mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (1) berkaitan isu berkepentingan awam yang memerlukan segera dibahaskan.


(Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin)

Dalam pada itu, Datuk Seri Hishamuddin turut mengulangi keputusan Kabinet yang bersetuju dengan Pelan Pemulihan Projek LCS yang membenarkan tempoh mobilisasi dilaksanakan selama enam bulan.

Ia bagi membolehkan rundingan dibuat dengan pihak pengeluaran produk tulen (OEM) dan vendor tempatan seterusnya memuktamadkan perancangan perolehan LCS seperti yang diperlukan oleh TLDM.

Beliau turut menjelaskan tiada sebarang peruntukan tambahan dalam tempoh enam bulan proses mobilisasi itu dan tiada keperluan untuk projek itu diteruskan syarikat lain kerana akan mengambil masa memilihnya, yang akan melewatkan lagi projek berkenaan.

"Saya rasa dengan peruntukan sedia ada mencukupi mereka meyakinkan kepada saya, kepada MINDEF, kepada kerajaan bahawa mereka mampu", katanya.

Datuk Seri Hishammuddin turut menjelaskan status menyahklasifikasikan (declassify) Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) sudah dimulakan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

Katanya, Pengauditan Forensik Projek LCS pula akan mengambil masa sementara menunggu kelulusan Peguam Negara kerana dokumen itu bukan milik kerajaan sebaliknya dimiliki Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

"Siapa yang sebenarnya rasuah, siapa yang salah guna kuasa dengan nyahklasifikasikan laporan JKSTUPKK dan audit forensik kita, mungkin orang ramai dapat melihat sendiri, apa yang dilakukan hari ini tidak ada perkara-perkara yang saya harap dapat menjejaskan kita", katanya.