Tuesday, 29 November 2022

Tiada kenaikan tarif elektrik 1 Julai - 31 Disember 2022

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Tiada kenaikan tarif elektrik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022 kepada semua pengguna di Semenanjung.

Kadar yang sama akan dibayar oleh pengguna seperti sepanjang enam bulan pertama tahun ini berdasarkan penggunaan elektrik masing-masing.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan menampung kos keseluruhan subsidi berjumlah RM5.8 bilion yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung bagi mengekang kenaikan tarif elektrik tersebut.

"Kementerian juga akan terus melaksanakan pelan komunikasi yang komprehensif dan mudah difahami oleh rakyat. Sebagai langkah awal, mulai Julai 2022, jumlah subsidi bil elektrik yang ditampung oleh Kerajaan telah dipaparkan dalam bil elektrik bulanan setiap pengguna supaya rakyat memahami dan menghargai subsidi ditanggung oleh Kerajaan bagi seunit elektrik yang digunakan," kata Takiyuddin di sini.

(Takiyuddin menjawab pertanyaan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff di Dewan Negara)

Takiyuddin juga memaklumkan, semakan pelarasan tarif elektrik di bawah Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang berikutnya akan dilaksanakan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2023.

Berdasarkan analisis daripada Suruhanjaya Tenaga (ST), harga bahan api di pasaran global masih kekal tinggi berikutan impak peperangan di antara Rusia dan Ukraine sejak Mac 2022 dan permintaan bahan api arang batu yang tinggi daripada negara-negara luar.

Justeru, pihak kementerian telah merancang beberapa pelan mitigasi jangka panjang bagi mengatasi krisis tenaga dan kos ICPT yang dijangka meningkat.

Antara pelan itu adalah mengutamakan bahan api yang paling murah untuk penjanaan elektrik dan seterusnya akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri mengenai pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar untuk tempoh kitaran ICPT yang akan datang.