Wednesday, 8 February 2023

 

Kesedaran kibar Jalur Gemilang perlu ada pada rakyat

  • Published in Semasa

(Suwadi ditemu bual media selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan
Bulan Kebangsaan 2022 di Taman Desa Jenderam Hilir, Dengkil, Selangor) 

DENGKIL, 14 Ogos - Kesedaran mengibarkan Jalur Gemilang perlu ada dalam diri setiap rakyat tanpa perlu diseru oleh mana-mana pihak.

Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Suwadi Guliling berkata, amalan itu seharusnya sudah menjadi budaya dalam kehidupan rakyat kerana usia kemerdekaan negara sudah mencecah 65 tahun.

"Sebenarnya kibar Jalur Gemilang ini bukan perlu tunggu bendera yang percuma, ia patut timbul daripada diri kita sendiri, boleh beli, boleh pasang, kalau orang boleh menjahit, boleh pasang, tapi kita bagi itu sebagai untuk pencetuslah supaya Jalur Gemilang apabila seluruh negara ini berkibar Jalur Gemilang dalam bulan 8 hingga bulan 9, jadi semangat sambutan kemerdekaan itu lebih kelihatan," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2022 di Taman Desa Jenderam Hilir, di sini hari ini.


(Foto fail)

Dalam program itu, Suwadi diiringi Ahli Majlis Zon Jenderam Hilir, Muhammad Fahim Mohd Fauzi menyampaikan bendera Jalur Gemilang kepada wakil daripada 13 taman di Jenderam Hilir.

Penganjuran program seumpama ini adalah sebagai satu usaha mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghayati erti kemerdekaan agar semangat cintakan negara sentiasa tersemat dalam diri.

Ia sekali gus meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan, keamanan dan kemakmuran negara.