Sunday, 2 October 2022

Mayat lelaki ditemukan terapung

  • Published in Semasa

(Foto Ihsan APMM)

GEORGE TOWN, 14 Ogos- Mayat dipercayai seorang lelaki ditemukan terapung pada kedudukan 0.7 batu nautika timur laut Padang Kota Lama di sini, jam 2.05 petang semalam.

Mayat ditemukan sekumpulan individu yang menaiki bot pancing sebelum menghubungi MERS999.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed, berkata pasukannya digerakkan ke lokasi sebaik menerima maklumat daripada Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi.

"Mayat tersebut dipercayai seorang lelaki berseluar pendek serta berbaju singlet putih, namun tiada sebarang identifikasi diri ditemukan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban, sebelum diserahkan ke Hospital Besar Pulau Pinang oleh pihak Polis Timur Laut untuk tindakan lanjut," katanya.

Setakat ini, Maritim Malaysia Pulau Pinang belum menerima sebarang aduan berkenaan orang hilang di laut dan memohon mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau saudara segera tampil di balai polis yang berdekatan.

Sementara itu, Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai agar tidak turun ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai dan sebarang kecemasan di laut boleh dilaporkan terus ke talian PUSOP Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146 atau MERS 999.


(Foto Ihsan APMM)