Wednesday, 28 September 2022

Pembinaan satu daripada dua Empangan Sabo di kaki Gunung Inas akan dimulakan secepat mungkin

  • Published in Semasa

ALOR SETAR, 14 Ogos- Pembinaan satu daripada dua Empangan Sabo di kaki Gunung Inas, Baling akan dimulakan secepat mungkin bagi memperlahankan air sungai dan menyekat aliran puing yang boleh mengakibatkan berlaku kepala air atau arus deras.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata seterusnya, mengelak kemusnahan lebih besar di kawasan berpenduduk di sekitar hilir sungai.

"Di Gunung Inas JPS bagi tahu mahu bina dua Empangan Sabo akan dibuat majlis pecah tanah secepat mungkin untuk bina empangan yang pertama untuk mempelahankan larian air dan memperlahankan reba-reba kayu daripada menghentam orang ramai," kata Muhammad di sini.

Dalam pada itu, beliau menyelar tindakan sesetengah pihak yang terus-menerus mengaitkan insiden banjir lumpur dan kepala air di Kampung Iboi bulan lalu, dengan penanaman Musang King di puncak Gunung Inas.

Tegas beliau, hasil kajian Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) menunjukkan, bencana alam itu berlaku disebabkan fenomena proses geologi berangkai iaitu kejadian tanah runtuh serentak secara meluas di cerun perbukitan granit terluluhawa.

(Datuk Seri Muhammad Sanusi ditemui wartawan berkata pembinaan satu daripada dua
Empangan Sabo di kaki Gunung Inas akan dimulakan secepat mungkin)