Sunday, 2 October 2022

Piagam projek pensijilan bangunkan Sistem ISMS, PIMS RTM

  • Published in Semasa

(Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud ditemu bual Berita RTM selepas majlis
menandatangani piagam projek pensijilan bagi membangunkan Sistem ISMS dan PIMS RTM)

KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Satu piagam projek pensijilan ditandatangani antara Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Cybersecurity Malaysia bagi membangunkan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) dan Sistem Pengurusan Maklumat Peribadi (PIMS).

Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud, kerjasama strategik ini dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem aplikasi RTMKlik yang lebih selamat untuk dilayari.

"Kedua-dua pensijilan ini dapat membantu RTM untuk menghalang daripada pencerobohan data-data yang ada di RTM dan juga sistem yang kita ada, terutama sekali berkaitan dengan RTMKlik, ianya sistem yang kita ada, selamat dan memberi keyakinan yang besar kepada masyarakat atau pun rakyat supaya sistem kita ini tidak diceroboh oleh mana-mana pihak," kata beliau selepas majlis menandatangani piagam projek pensijilan bagi membangunkan Sistem ISMS dan PIMS RTM di Angkasapuri, di sini.


(Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud bersama Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia,
Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab selepas menandatangani piagam projek pensijilan bagi membangunkan
Sistem ISMS dan PIMS RTM)

Jelasnya, perancangan teliti tersebut mampu mengurangkan insiden siber dan kegagalan sistem, utiliti dan infrastruktur dalam usaha memastikan kesinambungan perkhidmatan RTM.

Pihaknya berharap projek rintis yang akan mengambil masa setahun itu dapat membantu jabatan dalam membangunkan dokumentasi ISMS dan PIMS RTM.