Wednesday, 8 February 2023

 

Presiden KAWAT meninggal dunia akibat sesak nafas

  • Published in Semasa

KUALA TERENGGANU, 18 Julai- Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) Khairul Azlam Mohamad meninggal dunia selepas sesak nafas di kediamannya di Taman Perumahan Permint Perdana di Seberang Takir dekat sini, kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.

Menurut isteri Allahyarham, Wan Sabariah Wan Musa, 49, arwah yang berusia 51 tahun meninggal dunia secara mengejut selepas mengadu sakit dada ketika sedang menyiapkan kerja di rumahnya.

"Arwah pulang ke rumah kira-kira pukul 1.00 pagi tadi dan selepas itu dia sambung buat kerja di rumah.

"Bagaimanapun kira-kira pukul 4.00 pagi, arwah tiba-tiba mengadu sakit dada dan sesak nafas sebelum tidak sedarkan diri. Ambulans tiba kemudian dan mengesahkan bahawa arwah dah tiada," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Wan Sabariah, sebelum kejadian, Allahyarham Khairul Azlam yang juga Ketua Biro Harakah Terengganu sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik.

Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) Khairul Azlam Mohamad
FOTO FB Kelab Wartawan Media Terengganu-KAWAT

Katanya, solat jenazah akan diadakan di Masjid Jamek Tok Jiring pada pukul 11.00 pagi ini dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maahad Tahfiz Wan Al Tarbiyyah, Tok Jiring.

Selain isteri, arwah turut meninggalkan sembilan anak yang berusia 10 hingga 25 tahun. -BERNAMA