Friday, 19 August 2022

Operasi SAR kanak-kanak dikhuatiri lemas di Jeti Nelayan Bagan Ajam di sambung esok

  • Published in Semasa

BUTTERWORTH, 27 Jun - Operasi mencari seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dikhuatiri lemas petang tadi selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Jeti Nelayan Bagan Ajam dekat Pantai Bersih akan disambung esok.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Pegawai Kanan Bomba II Mohd Faizwan Che Amat berkata pihaknya segera menghantar pasukan sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.45 petang tadi.

Katanya sejurus menerima panggilan, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Polis dan Anggota Pertahanan Awam (APM) bergegas ke lokasi kejadian dan memulakan operasi mencari di Jeti tersebut.

(Operasi SAR dihentikan pada pukul 7.30 malam atas faktor cuaca dan keadaan gelap)

"Sebaik tiba, pasukan dimaklumkan mangsa dikenali sebagai Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah, dipercayai mandi di kawasan itu bersama tiga lagi rakannya telah dibawa arus, manakala rakan-rakannya berjaya diselamatkan.

"Seorang pemancing yang berada di lokasi kejadian cuba menyelamatkan mangsa namun dia juga hampir lemas sebelum diselamatkan orang awam di kawasan itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Faizwan berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ditangguhkan pada pukul 7.30 malam tadi atas faktor cuaca dan keadaan gelap, dan akan disambung semula pada pukul 7 pagi esok.