Friday, 19 August 2022

Briged Malim Gunung Perhutanan, jadi mata dan telinga pihak berkuasa

  • Published in Semasa

KAMPAR, 27 Jun - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan mewujudkan satu skuad khas Briged Malim Gunung Perhutanan (MGP).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata skuad khas berkenaan akan menjadi mata dan telinga kepada Jabatan Perhutanan bagi penguatkuasaan pencerobohan hutan dan kegiatan pemburuan haram.

(Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan)

"Sekarang ini kita melihat kepupusan haiwan yang menjadi ikonik negara seperti Harimau Malaya, gajah dan sebagainya.

"Jadi mereka akan jadikan skuad khas malim gunung, mata dan telinga kerajaan untuk mengatasi masalah ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Malim Gunung Perhutanan (MGP), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, di sini.

Tambahnya, satu insentif secara one-off sebanyak RM600 akan diberikan kepada malim gunung perhutanan di seluruh negara yang dapat melengkapkan 60 jam kursus dalam tahun ini.

"Mereka ini mempunyai pelbagai kursus, jadi kalau lagi banyak mereka mengikuti kursus maka mereka akan menjadi lebih cekap.

"Sekarang ini kita sudah ada 590 malim gunung, dengan adanya insentif ini kita mensasarkan 1,000 malim gunung dapat melengkapkan kursus 60 jam untuk diberi insentif tahun ini," katanya.