Friday, 19 August 2022

Sindiket penipuan beli barang 'online' sempat padam bahan bukti

  • Published in Semasa

(Telefon bimbit antara yang dirampas dalam serbuan sindiket penipuan barang dalam talian)

BUKIT MERTAJAM, 27 Jun- Satu sindiket penipuan pembelian barang secara dalam talian di Pulau Pinang, berjaya ditumpaskan.

Serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang dan Timur Laut ke atas sebuah premis di Batu Ferringhi pada 25 Jun itu, membawa kepada penahanan 17 lelaki dan 6 wanita warga Taiwan.

"Apa yang kami kesan semasa serbuan mendapati banyak bahan bukti yang telah dipadamkan sindiket ketika kami menghadapi kesukaran untuk memasuki premis.

"Ketika anggota sedang memecahkan pintu premis, mereka sempat memadam segala bukti-bukti daripada peranti yang telah dirampas," kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam satu sidang media.

(Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (dua dari kiri) bersama barang rampasan)

Katanya, kesemua suspek tersebut dikatakan tertarik dengan tawaran pekerjaan bergaji lumayan melibatkan pengiklanan barangan berjenama dalam talian.

Siasatan juga mendapati tiada akaun bank tempatan terlibat dalam urusan transaksi berkenaan.

Turut dirampas 48 buah telefon bimbit, 14 unit komputer riba pelbagai jenama, 8 unit apple Ipad, 6 walkie talkie, dan pelbagai barangan lain.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.