Friday, 19 August 2022

ATM perketat kawalan sempadan bendung pencerobohan PATI

  • Published in Semasa

(Foto fail)

KOTA BHARU, 27 Jun- Usaha mengekang pencerobohan pendatangan asing tanpa izin dan gejala penyeludupan terus dipertingatkan dengan memperketatkan kawalan di sempadan negara.

Ini sejajar dengan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 Jun lalu.

Menurut Panglima Briged Kelapan Infantri Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha’ari Kamis @ Shaffiee, langkah itu dilakukan termasuk di laluan-laluan secara haram yang digunakan penyeludup dan penjenayah bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

Jelasnya, ATM tidak pernah berkompromi terhadap isu kawalan di sempadan dan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi lain.

(Panglima Briged Kelapan Infantri ATM, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha’ari Kamis @ Shaffiee)

"Setakat ini sempadan negara masih terkawal dan kami sentiasa bersiap siaga sepanjang masa terutama di kawasan sebelah utara dan pantai timur,

"Kami juga masih menjalankan Op Benteng, Op Wawasan dan Op PATI yang berterusan, yang mana setakat ini banyak kejayaan yang berjaya kita capai bagi membendung isu ini," katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Anggota Tentera (Perhebat) dan Program Reskilling Upskilling Veteran di Kolej Poly Tech Mara, di Kota Bharu, Kelantan.

Tambahnya lagi, kawalan di sempadan ini terus dilaksanakan sepanjang masa dan bukan sempena pembukaan sempadan itu sahaja selain ATM juga sentiasa menambah baik langkah pengawasan di sempadan negara supaya tidak dibolosi.