Friday, 19 August 2022

Penggunaan kenderaan mikromobiliti dilarang di atas jalan raya, elak kemalangan - JPJ

  • Published in Semasa

LANGKAWI, 27 Jun- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia kini dalam fasa didikan kepada masyarakat tentang penggunaan kenderaan mikromobiliti di kawasan yang dibenarkan.

Ia bertujuan mengelak percampuran tidak selamat antara aliran trafik kenderaan lain serta kemalangan pengguna meskipun belum ada laporan membabitkan kenderaan tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Zailani Hashim berkata secara amnya, kenderaan itu adalah dilarang penggunaannya di atas jalan atau mana-mana bahagian jalan termasuk di lintasan pejalan kaki.

"Jadi kita tak mahu mereka yang menggunakan kenderaan ini terlibat dengan kemalangan yang boleh membawa maut sebab keberadaan mereka di atas jalan raya bersama kenderaan lain terlalu bahaya dan saya melihat sendiri beberapa malam lepas ada mereka yang menggunakan di Langkawi di atas jalan raya di sekitar Pantai Cenang ini," kata Zailani ketika ditemui pemberita selepas Program Advokasi Kenderaan Mikromobiliti di Jalan Pantai Cenang, di sini.


(Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Zailani Hashim ditemui selepas Program
Advokasi Kenderaan Mikromobiliti di Jalan Pantai Cenang, Langkawi)

Jelas Zailani lagi, pengguna yang ingkar dengan peraturan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kompaun sehingga RM300.