Friday, 19 August 2022

Kes ILI dalam negara terkawal- Khairy

  • Published in Semasa

REMBAU, 26 Jun- Kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) dalam negara pada masa ini adalah terkawal meskipun terdapat beberapa kluster membabitkan sekolah berasrama dikesan.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, orang ramai, khususnya ibu bapa tidak perlu bimbang berikutan penyakit tersebut adalah jangkitan biasa dan akan timbul dari masa ke masa.

Pesakit yang terkena jangkitan ILI cukup sekadar diberi pemantauan dan pengasingan diri sahaja.


(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin/FB KKM)

“Kes influenza ini akan bertambah dari semasa ke semasa sebab Perintah Kawalan Pergerakan dah tiada, kita mula kurangkan langkah kesihatan awam seperti penjarakan fizikal dan sebagainya, sudah pasti penyakit berjangkit meningkat.

“Itu mungkin selama dua tahun lepas kes penyakit berkenaan menurun sebab kita dikurung di rumah dan ikuti langkah kesihatan awam tertentu, namun apa-apa pun ia masih lagi terkawal dan tiada apa yang perlu dibimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program saringan kesihatan Peka B40 di sini hari ini.

Jelasnya, sehingga kini tiada keperluan untuk penutupan sekolah dan penilaian risiko terhadap kes penyakit berjangkit itu sentiasa dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

Langkah sewajarnya akan dilaksana secepat mungkin sekiranya kes penyakit berjangkit itu berada pada tahap yang membimbangkan.