Friday, 19 August 2022

Cuti hujung minggu di Johor masih di peringkat kajian - MB

  • Published in Semasa

ISKANDAR PUTERI, 26 Jun - Kerajaan Negeri Johor masih mengkaji penyelarasan semula cuti hujung minggu yang ketika ini ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata keputusan mengenai penyelarasan itu tidak boleh dibuat secara melulu berikutan ia melibatkan pelbagai pihak berkepentingan serta perlu mendapat perkenan daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

(Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi)

“Pelbagai cadangan telah diberikan, ada yang mahu ia kekal hari Jumaat dan Sabtu supaya mudah pergi solat, ada yang mahu ia diubah ke Sabtu dan Ahad supaya selari dengan Persekutuan.

“Ada yang mahu masa rehat hari Jumaat yang lebih panjang, ada yang mahu cuti dua hari setengah malah ada yang mahu cuti tiga hari seminggu, semua pandangan dan cadangan ini saya terima dengan baik," katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini.

Tambah Onn Hafiz, penyelarasan perlu dibuat agar ibu bapa terutama yang bekerja di sektor swasta dapat meluangkan masa bersama anak-anak mereka.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Johor mahu tindakan undang-undang diambil ke atas pengkhianat yang menyebabkan negara kehilangan hak dan kedaulatan Batu Puteh.

Onn Hafiz berkata, tuntutan ke atas Batu Puteh yang tidak diteruskan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) turut mengecewakan bangsa Johor.

Katanya, kehilangan Batu Puteh memberi kesan negatif kepada rakyat terutama nelayan kerana sumber pendapatan mereka terjejas.

(Pulau Batu Putih / FOTO FAIL)

"Isu Batu Puteh membabitkan kedaulatan dan maruah negara, malah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pernah menyebut secara jelas bahawa batuan itu pernah menjadi milik Kesultanan Johor Lama.

"Persoalannya, siapa yang menasihati kerajaan membuat keputusan yang melulu sedangkan Peguam Negara dicutikan ketika itu. Rakyat Malaysia terutama Bangsa Johor amat mengambil berat dan pandang serius perkara itu.

Tambah Onn Hafiz, memandangkan Batu Puteh kini memihak kepada Singapura, ia akan menimbulkan pertikaian tuntutan bertindih kawasan maritim, apatah lagi jarak Batuan Tengah milik Malaysia hanya sekitar satu kilometer (km) dari Batu Puteh.

"Pertikaian itu kini jadi lebih serius apabila laporan menyatakan Singapura sudah mula menjalankan kerja penambakan di Batu Puteh, sedangkan perbatasan maritim masih lagi dalam rundingan dan belum dimuktamadkan," katanya.