Logo

Ismail Sabri berada pada landasan betul, galas cabaran semasa, pikul bebanan kepimpinan terdahulu

(Datuk Seri ismail Sabri Yaakob)

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Pentadbiran kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilihat berdepan dengan pelbagai situasi mencabar dalam menguruskan negara.

Sepanjang pentadbiran Ismail Sabri, beliau berdepan cabaran mengendalikan pelbagai isu antaranya mengawal pandemik COVID-19, menguruskan impak kenaikan harga minyak dan menyatukan kerjasama kerajaan dan pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU).

Tuduhan terhadap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah turut diselar dan beliau turut dipertahankan beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan Mu timedia, K-KOMM, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Annuar Musa berkata, cabaran dihadapi meletakkan beliau sebagai PM daripada UMNO dalam situasi yang tidak pernah dialami oleh mana-mana pemimpin lain.

"Justeru katanya, tidak wajar penilaian yang merendah-rendahkan PM datang dari parti sendiri, PM yang diangkat oleh UMNO dan mewakili parti UMNO," katanya.

Sementara itu, Khairy turut menyelar tindakan mengkritik Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob secara terbuka, terutama membabitkan pemimpin UMNO kerana ia seharusnya menggunakan saluran yang betul.

Katanya, tindakan sedemikian boleh mengundang tanggapan bahawa Umno tidak bersatu sekali gus boleh menjejaskan peluang parti itu dalam pilihan raya.

(Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata,kenyataan menuduh Ismail Sabri PM daripada UMNO yang paling lemah
  itu tidak tepat memandangkan Ahli Parlimen Bera itu sudah melakukan yang terbaik sepanjang menerajui pentadbiran negara)


Bahkan, peminpin parti PAS juga turut menyelar mereka yang melabelkan Ismail Sabri sebagai PM paling lemah, sebagai 'jahil politik'.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kenyataan menuduh Ismail Sabri itu tidak tepat memandangkan Ahli Parlimen Bera itu sudah melakukan yang terbaik sepanjang menerajui pentadbiran negara.

Abdul Hadi yang memberi contoh ancaman COVID-19, Ahli Parlimen Marang itu berkata prestasi Ismail Sabri bersama barisan Kabinet cukup baik dalam menangani situasi pandemik, malah berada pada landasan terbaik dalam menangani pelbagai isu dan cabaran yang mendatang.

"Tidak betul (tuduh Ismail Sabri PM UMNO paling lemah), itu salah, tidak boleh beban atas dia seorang dan kena sedar semua Perdana Menteri memerintah secara kolektif dan bersama Kabinet.

"Alhamdullilah, Ismail Sabri berjaya menangani banyak masalah dalam suasana yang sangat mencabar, COVID-19 belum lagi habis dan kita kena sedar, masalah inflasi yang melanda dialami seluruh dunia, bukan Malaysia sahaja.

"Kita menghadapi masalah itu dan ia mencabar orang yang cakap (tuduh Ismail Sabri), orang tak reti, tak tahu, orang yang jahil politik," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, kabinet yang ada sekarang berada pada landasan yang betul dalam menggalas cabaran semasa, di mana Ismail Sabri turut memikul bebanan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Justeru, katanya semua pihak termasuk rakyat perlu memberikan sokongan kepada Perdana Menteri dan barisan kabinet yang ada hari ini, bagi menyelesaikan isu yang melanda negara ketika ini.

"Alhamdulillah, pencapaian Ismail Sabri dan kabinetnya baik dalam keadaan yang mencabar. hendak selesai 100 peratus memang tidak boleh, tetapi banyak yang selesai.

"Beliau juga memikul bebanan peninggalan kerajaan dahulu, banyak kerajaan dahulu tinggal dan terpaksalah kena baiki balik.

"Kita termasuk rakyat kena beri sokongan kepada Perdana Menteri dan kabinetnya untuk mereka mentadbir negara," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilapor melabel Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.

Komen Nur Jazlan merujuk status Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang sehingga kini belum diputuskan kerajaan, walaupun Ahli Parlimen Ampang itu sudah lam mengumumkan keluar BERSATU dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).











Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.