Friday, 19 August 2022

Program Bina BAKAT siri keempat bermula Julai ini

  • Published in Semasa

SUBANG, 26 Jun- Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) komited untuk memperkasakan ahli-ahlinya dalam pelbagai bidang dengan meneruskan program transformasi menerusi Program Bina BAKAT. 

Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Datuk Tengku Muhaini Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkata sehingga kini sebanyak tiga siri program telah dilaksanakan sejak Jun tahun lepas termasuk perlaksanaan kursus kulinari dan seni rekaan fesyen secara dalam talian dan bersemuka.

Untuk siri keempat yang dirancang bermula Julai ini akan melibatkan 400 peserta ahli BAKAT dari zon Selatan, Sabah dan Sarawak.

Memetik laporan Bernama, program itu dapat membantu ahli yang terdiri daripada isteri-isteri pegawai dan anggota terutama mereka yang berada dalam golongan B40 dengan menghasilkan kraftangan dan makanan jualan bagi membantu menjana pendapatan keluarga.

Beliau berkata program kemahiran itu dilaksanakan secara percuma dengan memberi latihan sewajarnya di samping memberi bantuan peralatan pembelajaran.

Selain itu, BAKAT ATM juga akan meningkatkan pemerkasaan ahlinya dalam bidang sukan dan kecerdasan bagi menerapkan budaya bersukan serta amalan hidup sihat.

Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM,
Datuk Tengku Muhaini Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah

Penglibatan dalam aktiviti sukan seperti sukan petanque juga akan menjadi medium permulaan untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Dalam usaha kita memperkasakan sukan dan kecerdasan ini, kita juga merancang untuk melaksanakan program sukan bersama agensi luar pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, kursus kepimpinan juga akan diadakan dalam kalangan ahlinya dalam usaha merapatkan jurang dan mengeratkan perpaduan antara isteri pegawai dan anggota ATM.

Tengku Muhaini berkata setakat ini BAKAT ATM mempunyai lebih 60,000 ahli dan sekurang-kurangnya 30,000 ahli adalah suri rumah.