Friday, 19 August 2022

KUSKOP lulus bantuan RM1.54 juta kepada koperasi di Selangor - Noh

  • Published in Semasa

SHAH ALAM, 26 Jun- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meluluskan bantuan sebanyak RM1.54 juta kepada 34 koperasi di Selangor setakat 1 Jun tahun ini, menurut menteri berkenaan Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata ia melibatkan sembilan bantuan antaranya Bantuan Pembangunan SKM, Program Pengukuhan Koperasi (PPK), Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE), Program Sektor Peneraju Ekonomi Koperasi (PROSPEK) dan Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER).

“Pada 2021, sebanyak 40 koperasi telah diluluskan bantuan yang sama dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.8 juta,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Hari Koperasi Malaysia peringkat Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, malam tadi.

Menurut Noh, sehingga 31 Mei, terdapat 90 koperasi baharu didaftarkan di Selangor, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,868 koperasi di negeri itu dan tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

(Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar (tiga, kiri) melakukan gimik
pelancaran Perasmian Hari Koperasi Negara 2022 Peringkat Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) semalam
FOTO BERNAMA

“Daripada jumlah itu, 11 koperasi tersenarai dalam profil 100 koperasi terbaik di Malaysia berbanding lapan koperasi pada 2019,” katanya.

Dalam pada itu, Noh berharap kerajaan negeri Selangor dapat menyediakan sedikit peruntukan untuk koperasi di negeri tersebut memandangkan ia turut menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Beberapa kerajaan negeri memang ada menyediakan peruntukan untuk membantu koperasi, tetapi di Selangor tiada. Saya harap kerajaan negeri lihat koperasi kerana ramai ahlinya di sini (Selangor),” katanya. -BERNAMA