Friday, 19 August 2022

PDRM minta mangsa penipuan dalam talian lapor dan beri kerjasama

  • Published in Semasa

(Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berucap pada majlis Pelancaran Kempen Anti Scam
PDRM 2022 di Johor Bahru, Johor)

JOHOR BAHRU, 25 Jun - Mangsa penipuan dalam talian diseru bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan melaporkan kes tersebut bagi membolehkan PDRM membanteras sindiket berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan yang diterima membolehkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial mengenal pasti modus operandi digunakan sindiket terlibat.

Jelasnya, terdapat sebilangan mangsa penipuan dalam talian enggan melaporkan kepada pihak polis di atas faktor malu dan tidak mahu umum mengetahui tentang kesilapannya.

Selain itu, sikap mangsa yang memandang remeh akan penipuan tersebut, dengan menganggap jumlah wang ditipu tidak banyak, menyumbang kepada cabaran dihadapi PDRM untuk mengekang sindiket tersebut.


(Foto hiasan)

"Mereka malu, yang kedua mereka enggan, menempuh susah payah, laporkan pada pihak polis, dengan adanya laporan-laporan yang diberi, kita akan dapat mengenal pasti, modus operandi yang digunakan atau boleh kongsi dengan masyarakat yang lain," kata beliau selepas merasmikan Pelancaran Kempen Anti Scam PDRM 2022, di sini.

Kempen yang merupakan kesinambungan daripada Kempen Pencegahan Jenayah Komersil 2021, bertujuan meningkatkan kesedaran umum tentang taktik digunakan sindiket menerusi kolaborasi pempengaruh dan khutbah Jumaat.

Acryl juga memaklumkan, terdapat penurunan kes penipuan dalam talian sejak pelancaran kempen terbabit tahun lalu melibatkan kes penipuan cinta dan penipuan telefon.