Friday, 19 August 2022

Harga ayam tidak diapungkan, ambil pandangan pelbagai pihak

  • Published in Semasa

PUTRAJAYA, 25 Jun - Pengumuman tidak akan mengapungkan harga ayam di pasaran bukan 'pusingan U'.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaliknya berkata keputusan dibuat berdasarkan pandangan pihak berkepentingan terutamanya seluruh Keluarga Malaysia.

"Keputusan (tidak diapungkan harga ayam) dibuat setelah mendengar pandangan rakyat. Keputusan ini beri kebaikan kepada rakyat, bukan pusigan u. Kita buat untuk kebaikan rakyat, memberi faedah kepada rakyat," kata Ismail di sini.

(Ismail bercakap kepada pemberita selepas meninjau Hari Rekreasi Putrajaya 2022)

Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa keputusan tersebut bersifat pusingan U.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan harga ayam tidak akan diapungkan dan harga siling baharu akan diumum Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ismail berkata meski julung kali diadakan, sambutan Hari Rekreasi Putrajaya 2022 mencapai sasaran pada hari pertama penganjurannya, yang menghimpunkan sehingga 100,000 pengunjung.

"Dan saya lihat dari segi pengisiannya amat menarik untuk orang dewasa, kanak-kanak, malah untuk pencinta kucing pun ada . Jadi saya lihat ini sesuai untuk keluarga bersantai mengeratkan hubungan silaturrahim dan ia merupakan satu perhimpunan keluarga disini selaras dengan cita-cita saya Keluarga Malaysia," katanya lagi.

Program Hari Rekreasi Putrajaya 2022 berlangsung hingga esok dan menghimpunkan pelbagai aktiviti dan gerai jualan sekali gus membuka peluang kepada orang ramai untuk mengenali produk baharu pelancongan Putrajaya terutamanya di Anjung Floria Presint 4.