Friday, 19 August 2022

Bekalan minyak masak kampit di Sarawak mencukupi

  • Published in Semasa

KUCHING, 25 Jun - Tiada sebarang aduan dan kesalahan mengenai kegiatan sorok barang kawalan dicatatkan di Sarawak, sepanjang pelaksanaan Kempen Anti Sorok 2022 dari Januari hingga 18 Jun lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata setakat ini bekalan minyak masak kampit di negeri itu mencukupi dan kekurangan di beberapa premis adalah bersifat sementara.

Setakat hari ini juga kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak berpaket iaitu RM2.50 satu kilogram untuk kegunaan 60,000 metrik tan sebulan di seluruh negara.

(Alexander ditemui media selepas membuat pemeriksaan mengejut
ke sebuah kilang memproses minyak masak di Jalan Penrissen, di sini)

"Ini kekal masih diberi kepada rakyat jangan lihat kepada berbotol (minyak botol) yang dimansuhkan itu memang program sementara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat," kata Alexander di sini.

Buat masa ini, kementeriannya sedang menyiasat lebih 6,000 premis perniagaan yang menyalahgunakan barangan subsidi termasuk minyak.

"Saya tidak teragak-agak (untuk ambil tindakan), saya boleh batalkan permit mereka kalau didapati bersalah, ini amaran kepada industri minyak masak," katanya lagi.