Friday, 19 August 2022

Pusat Rawatan TH Syisyah di Makkah, hampir setanding hospital di Malaysia

  • Published in Semasa

MAKKAH, 25 Jun - Peranan pasukan perubatan Tabung Haji (TH) ketika musim haji hampir melengkapi semua aspek perubatan dan kesihatan sebagaimanan fungsi hospital dan pusat rawatan di Malaysia.

Di Pusat Rawatan TH Syisyah di sini, terutamanya ia merangkumi semua bahagian termasuk wad pesakit, klinik bergerak, perkhidmatan ambulan sehingga ubat-ubatan serta kelengkapan hospital.

Pengarah Operasi Perubatan Mekah Haji, Dr Mohamad Nazarudin Bahari berkata ia bertujuan mengoptimumkan kesihatan jemaah haji sebelum tiba hari kemuncak iaitu wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah hingga fasa kedua iaitu kepulangan Jemaah haji ke tanah air.

Perkhidmatan termasuk petugas perubatan pelbagai bidang iaitu pakar perubatan, pegawai perubatan, jururawat terlatih, penolong pegawai perubatan, pegawai farmasi, pegawai pemakanan dan pegawai perkhidmatan rohaniah.

(Pengarah Operasi Perubatan Mekah Haji, Dr Mohamad Nazarudin Bahari)

"Sebelum ini kita mengadakan perkhidmatan pergigian dengan pegawai pergigian dan juga anak-anak buahnya, berada juga di sini. Unit-unit sokongan lain yang membantu kami iaitu melibatkan unit x-ray, unit patologi ataupun lab, unit fisiologi juga bersama kami untuk memberikan khidmat terbaik kepada jemaah haji, memastikan jemaah haji, apa sahaja isu berkaitan dengan kesihatan boleh dirawat oleh doktor Malaysia sendiri, oleh kita punya jurupulih kita sendiri, itu yang objektifnya lebih mudah dan lebih mesra kepada pelanggan," kata Dr Mohamad Nazarudin di sini.

Untuk tahun ini juga pihaknya melakukan kawalan penyakit berjangkit lebih awal bagi mencegah penularan penyakit berjangkit terutamanya COVID-19.

Hanya kes-kes yang memerlukan penjagaan rapi seperti penyakit kronik, akan dirujuk ke hospital Arab Saudi.

Bagaimanapun setakat ini katanya rawatan pesakit sangat minimum setelah kerajaan Arab Saudi memperketatkan syarat kemasukan jemaah haji untuk tahun ini.