Saturday, 25 June 2022

HSA Dua bakal dibina di Kempas

  • Published in Semasa

JOHOR BAHRU, 23 Jun- Kerajaan Johor dalam perancangan membina sebuah hospital baharu iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA) Dua di Kempas.

Ia bagi mengatasi kesesakan, seterusnya meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

EXCO Kesihatan dan Perpaduan, Ling Tian Soon memaklumkan HSA Dua yang dicadangkan itu nanti akan dibangunkan di atas tanah seluas 207.55 hektar dengan jangkaan kos berjumlah RM500 juta.

(Ling Tian Soon)

Ketika ini, proses mendapatkan tanah oleh Kementerian Kesihatan sedang berjalan, manakala urusan mengosongkan tapak akan dijalankan kerajaan Johor bersama Pihak Berkuasa Tempatan.

Menurutnya, HSA Dua juga akan mengambil kira kelemahan yang terdapat di HSA sedia ada termasuk kekurangan lot parkir kenderaan.

"Dengan reka bentuk yang lebih moden sekarang, kita dapat kapasiti tempat letak kenderaan yang lebih dan bagi HSA sedia ada banyak projek penaiktarafan di klinik dan juga bangunan.

"Kita akan tambah bangunan yang baharu dan juga tambah jumlah tempat letak kenderaan di kawasan itu," katanya.

Beliau ditemui pemberita di perkarangan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tian Soon mengulas cadangan mewujudkan sebuah hospital baharu sebagai alternatif kepada penduduk, selain HSA dan Hospital Sultan Ismail.

Sekiranya diluluskan di dalam Rancangan Malaysia ke-12, HSA Dua yang dirancangkan itu bakal bermula pada 2024.