Saturday, 25 June 2022

KPDNHEP siasat ratusan syarikat terlibat kegiatan bidaan perolehan awam

  • Published in Semasa

(FOTO BERNAMA)

PETALING JAYA, 23 Jun- Kerajaan sedang menyiasat ratusan syarikat yang dipercayai terlibat kegiatan penipuan bidaan perolehan awam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mendedahkan, penipuan bidaan telah kerap kali dibongkar kepada umum.

Justeru, kementerian bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah memulakan usaha menangani isu tersebut.

"Angka sebenar setakat ini sedang disiasat oleh MyCC, namun apa yang boleh saya katakan ia melibat ratusan syarikat,

"Saya menyerahkan kepada pihak MyCC untuk memaklumkan perkara ini kepada umum," katanya dalam sidang media selepas pelancaran Majlis Persidangan Undang-undang MyCC di Petaling Jaya.

(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi)

MyCC dalam kenyataan semalam menegaskan individu atau syarikat yang terlibat akan disenaraihitamkan oleh Kementerian Kewangan untuk tempoh 5 tahun.

Ia berdasarkan Pekeliling Integriti dalam Perolehan Awam yang dikuatkuasakan Kementerian Kewangan mulai 1 Jun lalu, mesej bahawa kerajaan tidak akan bertoleransi dengan aktiviti kartel penipuan bidaan.